9 Amalan Rasulullah dan Para Sahabat di Penghujung Ramadhan
Penulis Cang Karna | Ditayangkan 15 Jun 2017Syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi peluang untuk merasai dan melalui Ramadan bagi tahun ini. Saban tahun kita lalui Ramadan ini, pernahkah kita ajukan pertanyaan kepada diri,
Bagaimanakah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda menjalani ibadah puasa pada zaman dahulu, terutama pada 10 malam terakhir?
Oleh itu, di sini dikongsikan serba sedikit, antaranya seperti berikut;
1. Mandi, Berpakaian Cantik Dan Berwangi-wangian
Kebiasaannya, apabila ingin bertemu dengan orang tersayang, pasti kita akan bersiap dengan sekemas dan secantik yang boleh, bukan? Begitu juga apabila kita ingin menghadap Allah SWT; kekasih abadi yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Sesungguhnya, kebersihan itu juga separuh daripada iman. Berpakaian bersih, kemas dan wangi ketika beribadah bukan sahaja mengikut sunnah Rasulullah SAW tetapi ia turut membantu kita untuk mendapatkan khusyuk dalam solat.
2. Beriktikaf di Masjid
Iktikaf adalah berdiam diri di masjid dengan niat untuk beribadah kepada Allah SWT. Abu Said Al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah beriktikaf pada awal Ramadan, pertengahan Ramadan dan kerap beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.
3. Mengejutkan Ahli Keluarga Untuk Bangun Beribadah
Menjelang 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW bukan sahaja bangun untuk bersolat sendirian, akan tetapi dikejutkan juga ahli keluarga Baginda yang lain untuk sama-sama menghidupkan malam terakhir tersebut.
Aisyah r.anha berkata;
“Rasulullah SAW ketika memasuki sepuluh hari terakhir (Ramadhan) menghidupkan malam harinya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
BACA JUGA : Tiada Terasa, Ramadhan Sebentar Lagi Pergi
4. Beruzlah (Tidak Mendekati) Isteri
Kebiasaan bagi Baginda Nabi SAW dan para salafussoleh terdahulu adalah memperbanyakkan ibadah pada akhir Ramadan dan mengasingkan diri daripada mendekati isteri masing-masing. Dalam hadis Bukhari ada menyatakan;
“Apabila masuk sepuluh (hari terakhir bulan Ramadhan) Rasulullah SAW mengikat kainnya, menjauhkan diri dari menggauli isterinya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.”
5. Memperbanyakkan Amal Ibadah Dan Qiamulail di Masjid Atau Surau
Rasulullah SAW sering mendirikan malam pada bulan Ramadan dengan ibadah qiamulail. Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
“Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
6. Bersolat Tarawih dan Sholat Sunat Lain
Antara ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat untuk menghidupkan 10 malam terakhir ialah dengan mendirikan solat sunat seperti Tarawih, witir, tahajjud, taubat dan solat hajat. Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Dan, pada sebahagian malam, laksanakanlah solat Tahajjud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu; semoga Tuhanmu mengangkat dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Al-Israk : 79)
7. Memperbanyakkan Zikir (Bertasbih, Tahmid, Takbir, Istighfar dan Bersholawat)
Selain mendirikan solat, pengakhiran Ramadan juga boleh diisi dengan amalan seperti berzikir (tasbih, tahmid, tahlil, istighfar ataupun selawat) seperti yang dilakukan oleh para salafussoleh terdahulu. Zikir adalah sebagai tanda kita mengingati Allah SWT.
8. Membaca Dan Bertadarus Al-Quran
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus Al-Quran dengan Rasulullah SAW setiap hari sepanjang bulan Ramadan. Para salafussoleh terdahulu juga sering mendahulukan bacaan Al-Quran berbanding ibadah lain ketika dalam bulan Ramadan.
Bahkan, ada dalam kalangan mereka ini mengkhatam Al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya 7 hari atau 10 hari pada bulan Ramadan. Salah seorang sahabat Rasulullah SAW; Saidina Uthman bin Affan pula mengkhatam Al-Quran setiap hari dalam bulan Ramadan.
9. Memperbanyakkan Doa Kepada Allah SWT
Sepanjang bulan Ramadan, Rasulullah SAW sering berdoa; “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka.”
Ma’la Bin Fadhal berkata; Dahulu, para sahabat Rasulullah SAW berdoa kepada Allah sejak enam bulan sebelum masuk Ramadan agar Allah SWT sampaikan umur mereka ke bulan yang penuh berkah itu.
Kemudian, selama enam bulan sejak Ramadan berlalu, mereka berdoa agar Allah terima semua amal ibadah mereka di bulan itu. Di antara doa mereka ialah;
“Ya Allah, sampaikanlah aku ke bulan Ramadan dalam keadaan selamat. Ya Allah, selamatkanlah aku ketika Ramadan dan selamatkanlah amal ibadahku di dalamnya sehingga menjadi amal yang diterima.” (Hadis Riwayat at-Tabrani; 2/1226)